NGOMONG-NGOMONG PASAL SUNGELANG

Apr 12, 2010

Bersalam




Bersalam adalah satu amalan yang begitu dekat dalam kehidupan masyarakat kita sejak dulu lagi. Ia sudah menjadi budaya dan kelaziman, serta pengukur tinggi budi seseorang.

Amalan bersalam tidak terbatas untuk masa tertentu saja, malah ia bagaikan satu kemestian dalam jalinan sesebuah hubungan interpersonal. Ia bukan saja diamalkan di kalangan orang kita saja, malah di peringkat global juga walaupun sesetengah negara mempunyai tradisi berlainan dalam menunjukkan ‘salam’ mereka.

Kita sudah terbiasa, bila berjumpa dan diperkenal dengan sesiapa, akan didahului dengan jabat tangan dan apabila hendak berpisah, salam turut dihulur sebagai tanda minta diri.

Dalam adat perkahwinan Melayu, sewaktu upacara lafaz akad nikah juga dilakukan secara bersalam antara jurunikah dan pengantin dan juga dalam dunia korporat, amalan ini sering dilihat di waktu perjumpaan, mesyuarat dan tidak ketinggalan di sesuatu majlis menandatangani perjanjian atau kerjasama perniagaan.

Jika dilihat dalam kehidupan seharian, khususnya dalam konteks kekeluargaan, bersalam dianggap sebagai tanda hormat kepada seseorang, daripada yang muda kepada yang tua, juga sebaliknya.



Malah, nilai murni ini diterapkan sejak kecil, dan pada peringkat itu lagi kita sudah dididik supaya bersalam dengan orang tua, selain membongkok sedikit bila berjalan di hadapan mereka. Tingginya nilai kedua-dua amalan ini dalam budaya kita hingga seseorang itu dikatakan kurang adab jika tidak melakukannya.

Melihat dari gaya hidup masa kini pula, amalan bersalam bukan lagi sekadar perlakuan menghulur dan menyambut tangan semata-mata, tetapi pelbagai jenis salam yang dilakukan segelintir masyarakat pada hari ini.

Diperhatikan, segelintir remaja dan golongan tertentu yang mempunyai gaya bersalam yang tersendiri. Ada yang berjabat tangan, kemudian bercalit ibu jari, ada yang bersalam kemudian berlaga pipi dan tak kurang juga yang sekadar bertampar tangan saja. Yang tak biasa bersalam pun ada!

Apapun gaya bersalam yang diamalkan, pokok-pangkalnya kembali kepada diri sendiri. Masing-masing mempunyai hak dalam menentukan tingkah laku masing-masing. Namun, pada zahirnya, setiap tindak-tanduk dan perlakuan adalah refleksi kepada peribadi kita

0 comments:

Post a Comment

SUNGELANG © 2008. Design by :WAKJOWO Sponsored by: Tutorial87 Commentcute